Pages

Friday, June 4, 2010

Dari Meja Mugilan: Implikasi Politik kepada BN

Pelancaran GAS telah berjaya dilakukan walaupun berlaku sabotaj dan pelbagai usaha untuk menggagalkannya. Mereka percaya telah berjaya menidakkan pelancaran GAS tetapi kehadiran masyarakat India terutamanya ahli MIC dalam bilangan yang besar membuktikan masyarakat India mahukan perubahan. Bagi individu tertentu kehadiran ahli MIC dalam lingkungan 5 ribu orang adalah satu kegagalan namun realitinya bilangan tersebut adalah lebih besar dari kehadiran para delegasi dalam mesyuarat tahunan MIC setiap tahun. Implikasi politik terhadap BN hendaklah direnung hasil dari kehadiran tersebut.

BN berada dalam sesi transformasi yang wajib dilakukan bagi memastikan ia terus kekal dalam arena politik negara sebagai parti yang membentuk kerajaan. Keputusan pilihanraya Sibu amat mencemaskan malah bilangan undi majoriti yang sangat sedikit di Hulu Selangor berbanding dengan masa dan tenaga yang dilaburkan membuktikan pembaharuan yang dilakukan oleh BN masih kurang mempengaruhi para pengundi untuk kembali ke pangkuan BN. Para pengundi tidak boleh dipengaruhi dengan politik pembangunan sahaja malah kekuatan parti turut memainkan peranan untuk mempengaruhi para pengundi.

Dalam konteks ini tiga parti utama yang mendominasi masyarakat Semenanjung Malaysia adalah sangat penting. MCA selepas bergolak kini telah kembali kepada arena politik utama apabila para perwakilan diberikan mandat untuk menentukan arah tuju parti. Umno sendiri telah melakukan pelbagai pembaharuan namun apakah arah tuju parti ketiga penting dalam BN. Apakah arah tuju MIC? Tidak sesiapa yang tahu kecuali Dato' Seri S.Samy Vellu dan anak beliau yang telah dilantik menjadi ahli CWC melalui pintu belakang.

MIC walaupun merupakan sebuah parti yang kecil namun peranan yang dimainkan sejak awal kemerdekaan adalah sangat penting. Masyarakat India selama ini telah memainkan peranan dalam mempertahankan kuasa 2/3 Dewan Rakyat. Namun kegagalan pimpinan parti untuk mempertahankan kepentingan masyarakat India telah menyebabkan pengundi India beralih kepada puak pembakang dan hasilnya BN hilang kuasa 2/3 dalam Dewan Rakyat.

Cabaran yang sangat penting dalam pilihanraya umum akan datang ialah, bagaimanakah MIC hendak membawa kembali pengundi India mengundi BN. Dalam pilihanraya yang lepas, MIC di bawah kepimpinan Dato’ Seri S.Samy Vellu telah kalah teruk sehingga presiden parti dan ramai pemimpin kanan hilang kerusi Dewan Rakyat. Kekalahan tersebut walaupun bersifat kolektif di bawah payung BN namun kepimpinan parti terutamanya Dato’ Seri S.Samy Vellu wajar mengambil tanggungjawab. Itu yang sebenarnya dilakukan oleh pemimpin parti komponen lain di mana mereka pergi secara terhormat. Tetapi dalam MIC Dato’ Seri S.Samy Vellu walaupun telah menerima mesej yang jelas agar berundur masih enggan berbuat sedemikian malah memberikan pelbagai justifikasi yang tidak masuk akal. Beliau masih bercakap tentang tanggungjawabnya pada hal selama 31 tahun tanggungjawab yang sedang didendangkan kini telah gagal dilaksanakan. Malah beliau adalah faktor utama penyebab kegagalan masyarakat India dalam meningkatkan keupayaan ekonomi.

Sekiranya BN ingin mendapatkan semula sokongan masyarakat India, Dato’ Seri S.Samy Vellu perlu berundur SEGERA dan menyerahkan tampuk pentadbiran parti kepada Timbalan Presiden bagi membolehkan pemangku presiden melaksanakan reformasi dalaman dengan strategi politik yang memenuhi aspirasi politik golongan muda mengikut perkembangan semasa.

Sekiranya Dato’ Seri S.Samy Vellu berundur pada penghujung tahun 2011, pemangku presiden tidak mempunyai tempoh yang cukup untuk melakukan rombakan dalaman dan kemungkinan besar akan berdepan dengan rebutan kuasa dalam parti kerana pemilihan parti akan berlangsung dalam tahun 2012. Kerakusan untuk berkuasa dari kalangan sesetengah individu sehingga sanggup menjadi ahli CWC MIC melalui pintu belakang akan menyebabkan MIC berada di ambang perpecahan sekaligus akan menjejaskan peluang BN. Bagaimana pula kalau Dato’ Seri S.Samy Vellu menggunakan alasan pilihanraya umum telah hampir bagi menangguhkan perletakan jawatan beliau nanti?

BN hari ini perlu mengambil pendirian yang jelas akan arah tuju perancangan politik bagi memastikan komponen parti meneruskan agenda perubahan. Perubahan dalam MIC tidak akan berlaku selagi Dato’ Seri S.Samy Vellu enggan berundur pada kadar SEGERA. Lagipun beliau hanya menyatakan akan berundur lapan atau sembilan bulan lebih awal tetapi tidak ada kepastian akan niat sebenar. BAGAIMANA KALAU BELIAU BUAT TAK TAHU BILA SAMPAI BULAN AUGUST/SEPTEMBER 2011 nanti?

BN harus membuat pilihan, siapa yang hendak di dahulukan, Pengundi atau Dato’ Seri S.Samy Vellu? Ini kerana implikasi politik kepada BN adalah amat tinggi sekiranya Dato’ Seri S.Samy Vellu masih memegang jawatan presiden semasa Dewan Rakyat dibubarkan untuk pilihanraya umum ke 13. Cukup dengan imej beliau untuk menjatuhkan BN dari Putrajaya.

No comments:

Post a Comment