Pages

Wednesday, May 26, 2010

Cebisan teguran dari Mugilan dan pendirian GAS

Malaysian Indian Congress (MIC) mempunyai satu sejarah perjuangan yang panjang. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan sumbangan awal MIC dalam memperjuangkan kemerdekaan negara bersama-sama dengan UMNO dan MCA.Hasil kesepakatan antara pemimpin di zaman pra kemerdekaan merupakan suntikan utama ke arah kemerdekaan negara. Bersama-sama Almarhum Tunku Abdul Rahman, Mendiang Tun Tan Cheong Lock dan Mendiang Tun V.T. Sambanthan, negara telah mengorak langkah kearah mencapai kemerdekaan pada 31 August 1957.

Sumbangan V.T.Sambanthan pada negara dan masyarakat India merupakan satu catatan fakta dan sejarah yang tidak boleh dinafikan. Sumbangan terbesar mendiang Tun yang masih kekal sehingga ke hari ini adalah National Land Finance Cooperative Society (NLFCS). Penubuhan NLFCS telah banyak membantu menyelesaikan masalah masyarakat India yang majoritinya pekerja ladang ketika itu.

Namun sumbangan beliau telah dilupakan oleh seorang individu yang ketika itu masih baru dalam bidang politik. Pelbagai tohmahan dan fitnah ditaburkan bagi memastikan Tun V.T.Sambanthan dapat dibuang dari pucuk pimpinan parti. Namun mendiang Tun adalah seorang pemimpin yang sangat liberal dan berpegang kepada sistem demokrasi yang membenarkan individu bersuara menyatakan pandangan. Beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa presiden untuk menyekat mana-mana individu daripada bersuara mengkritiknya.

Walau bagaimanapun, amalan sistem demokrasi di dalam MIC telah lumpuh sejak bermulanya cengkaman 31 tahun, Dato’ Seri S.Samy Vellu. Penyalahgunaan kuasa yang melampaui batas demokrasi telah melemahkan struktur parti sehingga melenyapkan pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber tinggi. Cengkaman kuku besi hanya untuk menutup mulut pengkritiknya telah menjadikan parti hilang keupayaan secara perlahan.

Apakah kesalahan saudara K.P.Samy dan saudara G.Kumar? Mereka hanya bersuara menyatakan pandangan bahawa Dato’ Seri S.Samy Vellu perlu berundur dengan serta merta bagi menyelamatkan MIC daripada musnah. Apakah itu satu kesalahan yang memerlukan penggunaan kuasa presiden untuk dipecat serta merta?

Di manakah perginya prinsip undang-undang “Rule By Law” dan “Innocent until proven guilty”? Tidak ada aduan, tidak ada siasatan, tidak ada laporan penyiasatan malah Jawatankuasa Displin yang dipengerusikan oleh Tan Sri Nijhar tidak bermesyuarat langsung tetapi surat pecat keahlian dari parti telah sampai kepada kedua-dua individu tersebut. Adakah ini yang dikatakan keadilan?

Dato’ Seri S.Samy Vellu sentiasa menegaskan, hanya delegasi yang membuat keputusan untuk melantik beliau ke jawatan Presiden parti berhak mengarahkan beliau letak jawatan. Malangnya pernyataan yang sama tidak diguna pakai untuk ahli-ahli MIC yang lain termasuk ahli CWC. Sesiapa yang bersuara untuk menegakkan keadilan akan dipecat. Itulah satu-satunya strategi Dato’ Seri S.Samy Vellu untuk kekal berkuasa. Tetapi beliau lupa akan kuasa rakyat yang boleh memusnahkan parti sekiranya beliau tidak berundur dengan segera.

Cukuplah Dato’ Seri Samy Vellu, masa telah hampir tiba untuk berundur. Pergilah selagi masih ada sedikit saki baki sokongan. Jangan wujudkan situasi di mana penyokong setia menghalau Dato’ Seri keluar parti.

No comments:

Post a Comment