PETALING JAYA, 27 Mei — Serangan ke atas kepimpinan Datuk Seri S. Samy Vellu berterusan hari ini dengan seorang lagi anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mengkritik Presiden MIC itu.
P. Palaniappan, antara anggota CWC dilantik daripada kalangan bukan barisan direstui Samy Vellu, menyifatkan tindakan Presiden MIC memecat empat pemimpin MIC dalam dua minggu ini menggunakan kuasa presiden sebagai keterlaluan.
“Tindakan beliau (Samy Vellu) adalah keterlaluan dan terburu-buru kerana terdapat pilihan lain untuk menangani perkara tersebut,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Palaniappan menegaskan, Samy Vellu sebenarnya boleh menghadapkan mereka ke jawatankuasa disiplin parti bukannya terus memecat mereka.
Samy Vellu telah memecat Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam, Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan dan dua anggota CWC iaitu K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan kerana mengkritik kepimpinannya.
Samy Vellu awalnya dalam kenyataannya berkata Mugilan akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.
Bagaimanapun pada keesokan hari beliau menggunakan kuasa presidennya untuk memecat Mugilan.
Tiga lain dipecat tanpa diberikan ‘amaran’ awal.
Palaniappan juga menegaskan beliau sanggup untuk dipecat jika Samy Vellu berhasrat untuk berbuat demikian.
“Saya sanggup dipecat sebab itu saya berani tampil hari ini untuk nyatakan pendirian saya,” katanya.
Beliau bertindak sedemikian kerana mahu memastikan supaya MIC tidak menjadi “parti tanpa sokongan rakyat.”
Turut hadir pada sidang media itu dua pemimpin MIC bahagian iaitu Datuk S. Kumar (Dusun) dan M. Karunanidhi (Klang) yang turut berkongsi pandangan sama.
Apabila ditanya sama ada akan menyertai Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Palaniappan menjawab belum lagi kerana masih belum dipecat.
“Saya masih belum dipecat, jadi bagaimana mahu menyertai GAS?
“Lagipun saya hanya memberikan pandangan bagaimana parti patut menangani isu ini (pergolakan dalaman MIC),” katanya.
Mugilan berkata beliau akan menggerakkan kira-kira 10,000 orang pada hari berkenaan untuk mendesak Samy Vellu supaya meletakkan jawatan dengan segera.
Mr P Palaniapan, u pun tau siapa sebenarnya Persiden parti anda itu. Asal usul dia dari ladang di Kluang Johor. Hari ini kaum India banyak pendedahan sehingga ramai yang berjaya. Namun Samy Vellu masih terkebelakang rupanya. Estate Style masih kuat dalam dirinya. Sebab itu suka suka aje dia pecat sana, pecat sini. Anyway, saya yakin GAS bakal menjadi satu gerakan yang kukuh mengubah halatuju MIC. Syabas GAS.
ReplyDelete