Pages

Wednesday, May 26, 2010

PRESS STATEMENT: SEMPENA PELANCARAN GERAKAN ANTI SAMY VELLU (GAS)

PRESS STATEMENT

SEMPENA PELANCARAN GERAKAN ANTI SAMY VELLU (GAS)

30 MEI 2010 (AHAD)

2:00 PETANG, PWTC

1.Tujuan utama saya memanggil Sidang Media pada hari ini adalah untuk memberikan “Press Statement” sempena Pelancaran Gerakan Anti Samy Vellu(GAS) pada 30 Mei 2010, hari ahad pukul 2.00 petang di PWTC.

2. Sepertimana para wartawan telah maklum, saya telah mengisytiharkan hasrat untuk melancarkan GAS dalam sidang media saya pada hari Sabtu 22 Mei yang lepas. Sidang media hari ini adalah bertujuan untuk memberikan maklumat tambahan kepada pihak media.

3. Persediaan untuk melancarkan GAS sedang berjalan lancar. Setakat ini kesemua ahli MIC termasuk bekas ahli yang dipecat oleh Dato’ Seri Samy Vellu dan masyarakat India secara amnya telah dimaklumkan akan pelancarannya melalui pelbagai cara seperti media cetak mahupun

elektronik, SMS, E-mail, blog dan panggilan telefon secara peribadi.

4. Rata-rata kesemua mereka telah memberikan pandangan dan sokongan yang amat menggalakkan. Mereka bersetuju dengan cadangan saya untuk melancarkan GAS kerana telah hilang kepercayaan terhadap Dato’ Seri S.Samy Vellu yang telah beberapa kali berjanji akan berundur tetapi telah memungkiri janji-janji tersebut. Dato’ Seri S.Samy Vellu semasa bertanding semula dalam pilihanraya parti pada 2006 telah berjanji bahawa beliau tidak akan bertanding semula namun telah memungkiri janji tersebut apabila bertanding semula dalam pilihanraya parti pada tahun 2009 walaupun telah kalah dalam pilihanraya umum. Pada ketika itu beliau berjanji akan melepaskan jawatan pada awal bulan September 2009 kepada Timbalan Presiden tetapi sekali lagi memungkiri janji tersebut dan terus menjawat jawatan presiden parti sehingga kini. Kini beliau berjanji semula untuk melepaskan jawatan pada bulan August atau September 2011 iaitu mengikut pandangan beliau lebih awal dari tamat tempoh penggal sekarang iaitu 2012. Janji demi janji yang tidak dipenuhi telah menyebabkan masyarakat India secara amnya dan ahli MIC secara spesifiknya berpendapat Dato’ Seri S.Samy Vellu hanya bersandiwara untuk melepaskan jawatan tetapi sebenarnya beliau tidak berhasrat untuk melepaskan jawatan. Mungkin beliau akan bertanding semula dalam pilihanraya parti pada 2012 atas alasan belum menjumpai penggantinya.

5. Keengganan beliau untuk melepaskan jawatan presiden parti bukan sahaja akan menjadi satu liabiliti politik kepada MIC tetapi akan turut menjejaskan peluang Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang. Ahli MIC di peringkat cawangan dan masyarakat India secara amnya telah menyatakan sokongan padu kepada GAS. Ahli MIC telah hilang kepercayaan terhadap amalan sistem demokrasi dalam parti kerana segala kelemahan yang ada dalam sistem demokrasi telah berjaya dimanipulasikan oleh Dato Seri S.Samy Vellu demi untuk kepentingan jawatan dan kuasa politik. Pelancaran GAS dilihat sebagai satu platform yang memberikan ruang yang terbuka kepada kesemua ahli MIC di peringkat cawangan untuk bangkit memberikan tekanan kepada Dato’ Seri S.Samy Vellu untuk berundur dalam jangka masa terdekat.

6. Objektif pelancaran GAS adalah bertujuan seperti berikut:

i. untuk memastikan Dato’ Seri S.Samy Vellu berundur SEGERA daripada jawatan beliau dan menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden;

ii. menyatu padukan ahli-ahli MIC yang telah berpecah belah kesan dari strategi “pecah dan perintah” Dato’ Seri S.Samy Vellu untuk terus kekal berkuasa dalam politik.

iii.menyatu padukan semula kesemua bekas ahli MIC yang dipecat oleh Dato’ Seri S.Samy Vellu untuk kepentingan politik beliau dan kembali menyertai MIC; dan

iv. menyatupadukan masyarakat India di bawah payung MIC dan mengembalikan zaman kegemilangan MIC.

7. Walau bagaimanapun aspirasi perpaduan dan hasrat untuk mengembalikan zaman kegemilangan MIC tidak akan tercapai tanpa pengunduran Dato’ Seri S.Samy Vellu dengan SEGERA. Oleh yang demikian, GAS akan memberikan penumpuan utama untuk mencapai objektif di para 6(i) terlebih dahulu.

8. Saya juga ingin tegaskan di sini kalau kita gagal membawa perubahan terhadap kepimpinan parti dalam tempoh terdekat, maka yang akan mengalami kerugian ialah parti dan generasi muda akan datang. Sebab itu dari awal lagi saya nyatakan perjuangan saya adalah untuk parti MIC, generasi masa kini yang menjadi mangsa politik Dato’ Seri S.Samy Vellu dan generasi muda akan datang. Saya tidak mahu dilabelkan sebagai penderhaka oleh generasi akan datang kerana membenarkan parti diperlakukan seperti syarikat sendirian berhad. Bukan jawatan dan kuasa politik yang dicari tetapi aspirasi perjuangan yang ingin melihat MIC kembali gemilang.

9. Kekalahan yang menimpa parti dalam pilihanraya umum ke 12 adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan kita harus belajar dari kesilapan tersebut. Jangan tunggu sampai kita kehilangan kesemua kerusi baru hendak sedar diri. Kita jangan alpa dengan kuasa rakyat yang telah menidakkan mandat 2/3 yang dipegang oleh Barisan Nasional sejak zaman kemerdekaan. Yang Berhormat - Yang Berhormat dari MIC jangan lupa kemenangan anda dalam pilihanraya umum yang lepas adalah sangat tipis.

10. Misalannya P78 Cameron Highlands, dalam pilihanraya umum ke 11 tahun 2004, calon MIC/BN menang dengan majoriti 6,260 undi tetapi dalam pilihanraya berikutnya calon MIC/BN cuma menang dengan 3,117 undi, merosot 49.79%.

11. P.72 Tapah, pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 calon MIC/BN menang dengan majoriti 7,359 undi tetapi dalam pilihanraya berikutnya calon MIC/BN cuma menang dengan majoriti 3,020 undi, merosot 41.03%.

12. P.140 Segamat, pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 calon MIC/BN menang dengan majoriti 7,809 undi tetapi dalam pilihanraya berikutnya calon MIC/BN cuma menang dengan majoriti 2,991 undi, merosot nelebihi 50%.

13. Pilihanraya kecil P.94 Hulu Selangor, kita hanya dapat majoriti kecil setelah Pm dan TPM bertungkus lumus untuk meyakinkan pengundi tapi hari ini orang lain yang “claim the credit”.

14. Saya nak tanya kepada YB dari MIC apakah anda tidak tahu punca kemerosotan undi? Apakah anda mahu melihat MIC kehilangan kerusi-kerusi tersebut dalam pilihanraya akan datang? Apakah anda hanya akan bersuara menyatakan kebenaran selepas hilang kerusi tersebut dalam pilihanraya akan datang? Fikirlah secara rasional dan marilah kita bersatu hati selamatkan parti daripada dimusnahkan oleh Dato’ Seri S.Samy Vellu.

15. Saya juga ingin menggesa agar kesemua ahli CWC, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Cawangan termasuk pemimpin-pemimpin Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri menggunakan akal secara rasional untuk menilai kebaikan dan keburukan pemimpin yang ada sekarang. Jangan risau atau takut untuk menegakkan keadilan dalam parti. Jangan takut dengan usaha beberapa individu dalam pergerakan pemuda yang cuba menggunakan elemen gangsterisme untuk mengugut atau menakutkan anda dari hadir ke pelancaran GAS. Beranikan diri untuk bersuara menyatakan pandangan anda. Tepuk dada jawab secara ikhlas, berapa lama kita hendak membisu dan bersubahat dengan segala penyalahgunaan kuasa yang sedang berlaku dalam parti? Jika benar anda sayangkan parti, anda harus bersuara menegaskan keperluan Dato Seri S.Samy Vellu berundur SEGERA.

16. Untuk makluman para wartawan, dalam tempoh masa seminggu ini majoriti ahli CWC telah menghubungi saya secara peribadi dan menyatakan sokongan kepada pelancaran GAS. Walau bagaimanapun mereka risau sedikit untuk hadir ke majlis pelancaran. Budaya samseng yang diamalkan oleh beberapa individu yang rapat dengan presiden parti telah menimbulkan perasaan takut di kalangan mereka. Namun tidak apa, kerana bila tiba masanya nanti mereka akan menyatakan pendirian menggesa Dato’ Seri Presiden letak jawatan dengan SEGERA.

17. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menjemput kesemua wartawan yang hadir dalam sidang media ini turut hadir pada 30 May 2010 nanti.

18. Akhir kata, saya menjemput dengan hati terbuka kesemua ahli MIC dan masyarakat India agar hadir ke majlis pelancaran GAS bagi menyatakan pendirian, Dato’ Seri S.Samy Vellu perlu berundur SEGERA demi kebaikan dan masa depan parti MIC dan masyarakat India sendiri.

Sekian terima kasih.

3 comments:

  1. UMNgOk takut nak guna SPRM sebab mereka pong iblis jugak? haha... biar antara Be eNd semakin hancai!

    tagtag.com/conspiracy2012

    ReplyDelete
  2. Nampak ambang kejatuhan semi value

    ReplyDelete
  3. Selagi adanya Sami vellu dan palanivel tidak akan ada apa-apa perubahan. kalau nak dua-dua mesti letak jawatan. bagi pada pemimpin muda.

    Harap Dato sri Najib bercampur tangan menyelesaikan masalah ini sebelum menjadi kucar kacir.

    ReplyDelete